Anda mungkin pernah bergaduh dengan pasangan kononnya disebabkan bisnes. Pasangan anda mungkin merungut dan selalu tak puas hati dengan bisnes anda.
Tapi benarkah bisnes yang salah ? Atau manusia yang menguruskan bisnes itu.
Jadi saya kongsikan beberapa tips yang kita sama-sama boleh buat supaya bisnes ni boleh bantu kita untuk bahagia, bukan bergaduh.
1. Bisnes Ialah Alat Bahagia
Antara sunnah Nabi Muhammad SAW ialah berniaga. Dari berniaga, Baginda di didik untuk amanah dan bertanggungjawab.
Selain tu saya pernah dengar Ustaz Abdullah Khairi cakap, orang islam sekarang mesti kaya. Sebab nak bantu ramai lagi orang islam yang lain.
Jadi bila berniaga ni sunnah Nabi SAW, takkan lah berniaga ni sesuatu yang tak elok.
Kesimpulannya ialah bergantung pada cara kita uruskan diri kita dalam bisnes dan keluarga .
2. Kenali Keperluan Pasangan
Sepanjang berumah tangga, suami atau isteri sepatutnya dah jelas apa yang pasangan anda pentingkan. Anda boleh tahu daripada apa yang selalu disebut-sebut oleh pasangan.
Saya bagi contoh seperti suami yang dah bertahun-tahun minta isteri sediakan sarapan untuk dirinya dan anak-anak. Sarapan tak bermaksud kena masak nasi lemak atau nasi minyak. Kalau segelas air pun dah cukup.
Tapi bila dah selalu diminta tak ditunaikan, tapi boleh pula tengok telefon dan layan pelanggan, itu yang jadi pasangan makin tak berpuas hati.
Jangan terkejut, saya ada kawan yang bercerai hanya kerana bertahun-tahun isteri bangun dan pergi kerja tanpa uruskan anak-anak. Suami yang uruskan semua. Suami atau isteri tak buat bisnes pun.
Jadi masalahnya bukan pada bisnes.
Contoh bagi isteri pula. Mereka harapkan suami dapat bantu sebahagian dari kerja rumah dan bisnes. Sebab mereka jaga anak lagi, urus rumah dan buat bisnes lagi. Pengorbanan dirasakan sangat besar.
Isteri happy dah bila suami boleh tolong angkat kain dan basuh pinggan.
Sebab memang ramai suami yang pada peringkat awal kurang minat buat bisnes. Tak apa. Cukup sekadar dengan luahan dan bantu apa yang boleh contohnya tolong hantar barang.
Kesimpulan, anda dah kenal ‘keperluan’ pasangan anda. Cuba usaha untuk buat perkara-perkara itu. Jangan beralasan sibuk dengan bisnes sampai semua ‘keperluan’ tu diabaikan.
Sebab ‘rasa’ yang dipendam akan jadi masalah yang besar dikemudian hari.
3. Urus Piority List
Cakap memang senang. Pentingkan keluarga dulu baru bisnes. Tapi kalau tak faham, susah nak buat.
Sebab tu kena jelas mana yang paling penting, mana yang tak.
Contohnya makan pakai anak nak pergi sekolah. Jangan sibuk main telefon masa tu. Atau suami balik kerja selalu lapar. Pastikan ada lauk atas meja. Tak perlu masak 10 lauk pun. Nasi, lauk dan sayur pun jadilah.
Ingat, anda boleh layan puluhan pelanggan sehari, takkan tak mampu layan pasangan dan anak yang 3-4 orang saja.
4. Bahagi Tugas
Hidup berumah tangga dan bisnes ni ada banyak sangat kerja. Tapi kena jalankan 2-2.
Sebab untung bisnes dua-dua nak rasa kan ? Jadi bahagilah tugas.
Dari kerja jaga anak, kemas rumah, marketing, jualan dan kembangkan bisnes. Banyak tu. Sebab itu pasangan, suami atau isteri kena bincang.
Tanya pasangan. Cakap macam ni, ” Abang, saya cari duit untuk kita. Jadi saya nak tanya apa yang awak boleh tolong saya ? “.
Jangan bagi arahan tapi bantu pasangan anda fikir. Mereka akan secara rela untuk cuba bantu.
5. Libatkan Pasangan
Antara punca pergaduhan ialah suami dan isteri tidak faham tentang bisnes yang dibuat. Isteri/ suami tak mahu pasangan masuk campur atau pasangan memang tak mahu masuk campur.
Cara terbaik ialah masukkan pasangan dalam perbincangan. Minta pandangan pasangan.
Tak apalah mula-mula pasangan tak layan pun. Lama-lama mereka akan sama-sama fikir.
Sebab antara benda bahaya ialah pasangan tak rasa yang mereka ada peranan bila suami/ isteri mereka berjaya. Ada bibit ego dan rasa rendah diri akan timbul.
Dah ada pun kisah seorang jutawan wanita yang sangat berjaya. Tapi suaminya tak begitu terlibat dalam bisnes. Bila rasa egonya tercabar, dia mula menjauhkan diri. Kemudian masalah jadi makin besar dan merosakkan bisnes. Akhrinya bisnes isteri semakin gagal dan terus hilang.
Jadi bila anda libatkan pasangan dari awal, masalah ni boleh anda elak. Tak kisahla setakat bagi idea yang biasa-biasa, tolong packing atau tolong pos barang pun ok.
6. Teruskan Baiki
Sudah pasti yang dirancang tak akan jadi se ‘perfect’ macam yang kita nak. Itulah hidup. Kita kena terima.
Tapi pastikan pastikan selalu ada usaha.
Selalu cuba baiki kelemahan diri. Tak berjaya kena cuba lagi. Bukan tak berjaya terus tinggal.
Lama-lama anda akan jadi pasangan yang lebih baik.
7. Jaga Mulut
Pepatah melayu berkata ‘ kerana lidah badan binasa’. Memang betul dan tak boleh disangkal.
Hidup berkeluarga sekarang penuh dengan cabaran. Hal duit dan anak-anak dah cukup memberi tekanan setiap hari.
Jadi dalam apa saja masalah pastikan kita menjaga lidah. Lagi-lagi bila dah semakin berjaya. Kerana kata-kata kesat biasanya tak habis disitu tapi tersimpan di dalam hati.
Kejayaan sepatutnya menjadi anda menjadi manusia yang lebih baik pada pasangan anda.
Akhir Kata
Jika anda isteri atau suami, anda kena faham, bukan anda saja berkorban tetapi juga pasangan dan anak-anak anda.
Mereka mungkin terpaksa melepaskan, melambatkan atau melupakan impian mereka untuk bantu anda gembira dan berjaya.
Rasulullah S.A.W berpesan yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Semoga kejayaan kita dalam berniaga setara dengan kejayaan kita sebagai seorang ayah, ibu, anak dan sebagai manusia.
Kongsikan pengalaman anda diruang komen.
Sekian..